Material Meja Makan Yang Popular

Ditulis oleh

Meja makan terbaik untuk setiap pemilik rumah adalah meja yang memenuhi bajet anda, material meja makan yang kukuh, nampak terletak di ruang makan anda dan mempunyai stail yang tak lapuk dek zaman. Ya lah, rata-rata di kalangan kita, akan menggunakan meja yang sama untuk 5 hingga 10 tahun. Semestinya kita mahukan nilai yang sepadan dengan wang yang dikeluarkan.

Selain stail, sudah tentu kita mahukan meja yang stabil dan kukuh. Jadi mari kita lihat apakah jenis material meja makan yang popular di kalangan pemilik rumah di Malaysia.

Stail Kaki Meja

Sebelum memilih material permukaan meja, berikan perhatian anda kepada stail kekuda dan kaki meja makan. Pastikan ianya mempunyai ruang yang selesa untuk kaki setiap individu yang akan duduk di meja makan anda. Jarak antara permukaan meja dan lutut perlulah cukup. Cuba silangkan kaki anda di bawah meja dan lihat samada anda selesa dengan posisi tersebut.

Terdapat tiga jenis kekuda dan kaki meja makan iaitu

  1. Tresler
  2. Pedestal 
  3. Kaki

Meja makan yang mempunyai 4 kaki selalunya lebih stabil untuk menampung permukaan meja. Jika anda gemar mengadakan majlis keramaian dan memerlukan ruang untuk lebih banyak kerusi, pilih kaki meja yang lebar dan berada di penghujung meja.

Jenis tresler dan pedestal pula memberikan lebih fleksibiliti kepada jumlah kerusi pada meja makan anda. Untuk pedestal, pastikan Ianya diperbuat daripada material yang benar-benar kukuh kerana paksinya yang berada di tengah-tengah meja menjadikan meja kurang stabil.

Meja yang mempunyai tresler pula mempunyai kekangan ruang pada sisi meja yang pendek kerana ruang kakinya mempunyai kayu penahan beban.

Memilih Material Meja Makan

Proses nak memilih material meja makan bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak perkara yang perlu anda fikirkan seperti kos, cara penjagaan dan adakah ianya memenuhi citarasa. Salah pilih, alamatnya tepuk dahi!

Meja makan kayu

material meja makan kayu
Kredit: Pinterest

Kayu merupakan material yang menjadi pilihan ramai pemilik rumah kerana sangat kukuh dan mudah untuk dibaiki. Meja kayu sangat versatil dan sesuai dengan kebanyakan stail ruang makan yang anda impikan, samada country-style, French, rustic mahupun kontemporari.

Jenis kayu meja makan boleh dibahagikan kepada kayu solid dan komposit. Kayu jati merupakan kayu solid yang paling popular kerana ketahanannya. Antara kayu lain yang digunakan untuk pembuatan meja ialah maple, walnut dan rubberwood.

Namun anda perlu memberi lebih perhatian kepada cara penjagaan meja jenis ini kerana meja kayu mungkin dimakan anai-anai dan tidak boleh terdedah kepada suasana yang terlalu lembab dan basah kerana kayu akan mengembang dan rosak.

Sekiranya bajet anda kecil, anda boleh memilih meja makan daripada material MDF yang lebih ekonomi tetapi mempunyai daya tahan yang memuaskan.

Pro Tips

Sekiranya anda risau meja kayu anda calar atau cepat rosak, anda boleh menempah cermin kaca untuk diletakkan di atas permukaan meja makan. Proses mengelap meja akan menjadi mudah dan kaca juga akan memberi nafas baru kepada meja makan kayu anda.

Meja makan marble

material meja makan marble
Kredit: Pinterest

Kalau dulu-dulu, marble hanya digunakan di dapur sebagai kitchen top. Tetapi Sekarang meja makan marble semakin mendapat tempat di kalangan pemilik rumah di Malaysia. Faktor corak yang unik menjadikan meja makan ini kelihatan sangat mewah, sekaligus menyerlahkan ruang makan di rumah anda.

Marble juga merupakan material yang mudah untuk dijaga dan kalis calar. Anda tak perlu risau jika tertumpah kopi atau makanan kerana marble tidak akan menyerap dan tidak meninggalkan kesan yang sukar ditanggalkan.

Meja makan kaca

Kredit: Pinterest

Meja jenis ini sesuai untuk gaya moden dan membuatkan ruang makan anda nampak elegan, lagi-lagi bila anda meletakkan bunga atau pokok sebagai hiasan meja.

Kelemahan, senang meninggalkan kesan jari pada permukaan dan mengumpul habuk.

Sekiranya ruang makan ada kecil dan suram, anda boleh meletakkan meja makan kaca supaya ruang tersebut tampak lebih besar dan luas. Pantulan cahaya oleh kaca memberi ilusi bilik makan yang cerah.

Untuk memastikan meja kaca anda tahan lama, elakkan daripada meletakkan periuk panas tanpa lapik di atas permukaan meja. Meja akan mudah retak kerana kaca bukanlah konduktor haba yang baik.

Inilah senarai material meja yang menjadi pilihan rumah-rumah di Malaysia. Untuk kepuasan, anda perlu merasai sendiri pengalaman duduk di meja makan pilihan anda sebelum membuat keputusan untuk membelinya. Teliti juga sekiranya ada kesan calar atau cat terkopek pada meja makan supaya anda tahu kualiti material yang digunapakai. 

Pendek kata, tidak rugi untuk anda melabur lebih wang untuk meja makan untuk keselesaan meraikan tetamu dan sebagai ruang utama untuk bersosial dengan ahli keluarga anda.

Diterbitkan pada
Mac 15, 2022
Dikemaskini pada
Mac 20, 2022

Sharing Ekslusif Kami

Ikuti channel sosial media Giler Deco & dapatkan idea dekorasi trendy serta tips-tips menarik untuk rumah impian anda.

Anda Mungkin Juga Berminat

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2022 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
usermagnifiercrosschevron-down linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram