Rumah suram kadang-kadang bukan salah cat dinding. Mungkin pilihan lantai yang salah tidak berjaya menaikkan seri rumah. Lantai kayu seringkali menjadi pilihan pemilik rumah kerana ia memberikan rasa elegan dengan sendirinya tanpa memerlukan hamparan yang sarat. Bak kata orang, sangat effortless.
Perkongsian kali ini akan bercerita tentang jenis-jenis lantai kayu yang ada di Malaysia dan merungkai kelebihan dan kelemahan setiap satunya. Semoga ianya membantu anda untuk memilih lantai yang sesuai untuk rumah impian anda.
Lantai kayu adalah jenis lantai yang boleh dikatakan tahan lama dan mesra alam sekiranya dijaga dengan betul. Kebiasaannya, lantai kayu ini diperbuat daripada kayu asli bertujuan untuk penstrukturan dan ianya mempunyai nilai estetika yang tersendiri.
Lantai kayu juga dilihat sangat versatil dari segi penyusunannya. Bagi melakukan pemasangan lantai jenis kayu ini, terdapat banyak kaedah dan corak untuk melakukan penyusunan supaya ianya lebih kelihatan kreatif dan menarik. Tetapi, itu akan diceritakan kemudian.
Selain itu, lantai buluh juga tergolong dalam kategori lantai kayu walaupun pembuatannya adalah 100% daripada buluh itu sendiri dan bukannya dari kayu.
Terdapat beberapa jenis kayu yang sering digunakan bagi menghasilkan lantai rumah iaitu
Lantai kayu keras adalah lantai semulajadi yang diperbuat daripada beberapa jenis spesis pokok seperti jati, cengal dan merbau, lalu menghasilkan sekeping kayu yang diberi nama solid wood.
Lantai ini sangat sesuai jika deko rumah anda berkonsepkan tradisional kerana elemen semulajadi yang dibawakan oleh kayu asli ini.
Lantai kayu keras sangat kuat dan tahan dalam jangka masa yang agak lama. Ada sesetengah rumah walaupun usia sudah lebih 100 tahun tetapi masih elok dek kerana lantai rumah tersebut diberikan penjagaan yang baik.
Selain itu, corak kayu yang unik dan berbeza daripada satu sama lain memberikan identiti yang istimewa kepada pemilik rumah. Tambahan pula, penggunaan lantai jenis ini akan meningkatkan harga pasaran rumah anda.
Lantai kayu keras ini sebenarnya agak manja kerana ia mudah tercalar. Oleh itu, anda perlu meletakkan hamparan atau karpet untuk mengelakkan lantai daripada mudah tercalar. Selain itu, elakkan menyeret perabot kerana dikhuatiri akan meninggalkan bekas calar pada permukaan lantai.
Cara membersihkannya sangat mudah iaitu dengan hanya menyapu atau memvakum sahaja permukaan lantai kayu tersebut.
Kelemahan yang kurang digemari oleh pemilik rumah apabila menggunakan lantai jenis ini ialah ia mengeluarkan bunyi yang agak bising apabila berjalan. Keadaan ini memberikan gangguan kepada jiran di tingkat bawah sekiranya anda tinggal di tingkat atas pangsapuri. Selain itu juga, lantai jenis ini juga mudah terdedah kepada calar dan kerosakan ringan.
Harga untuk kayu jenis ini lebih mahal berbanding kayu lain dalam lingkungan RM30/kaki.
Lantai kayu tereka bentuk merupakan papan lapis yang dilapisi oleh kayu keras pada permukaannya. Jika lantai ini mengalami kesan calar, anda masih lagi boleh menyelamatkannya dengan menggosok permukaan lantai dengan kertas pasir.
Lantai ini tidak mudah mengembang apabila terkena air berbanding lantai kayu keras. Lapisan papan lapis ini juga memberikan kestabilan kepada lantai dan mengurangkan bunyi bising semasa berjalan. Sama seperti lantai kayu keras, lantai ini juga dapat meningkatkan harga rumah anda di pasaran.
Salah satu kelemahan lantai tereka bentuk ialah ia mudah pudar dan nampak kusam setelah digunakan sekian lama. Oleh itu anda perlu memastikan tiada sinaran UV dipancarkan secara terus ke bahagian lantai dengan cara menggantung langsir atau menghamparkan karpet di atas lantai.
Selain itu, ia juga manja seperti lantai kayu keras dan memerlukan penjagaan yang rapi untuk mengelakkan daripada tercalar. Sudah tentu daya ketahanan kayu ini tidak sehebat lantai kayu keras kerana ia bergantung kepada jenis papan lapis yang digunakan oleh pengeluar.
Menyapu atau memvakum lantai setiap hari serta mengemop secara berkala merupakan rutin untuk lantai jenis ini kerana kotoran lebih mudah terkumpul. Namun, pastikan mop tidak terlalu basah agar lantai tidak lembap dan mengembang. Gunakan kain yang lembut untuk mengelap sebarang tumpahan dan elakkan penggunaan ammonia semasa membersihkan lantai.
Harga untuk kayu parquet lebih murah berbanding kayu keras. Anggaran untuk satu keping adalah dalam lingkungan RM20/kaki.
Lantai kayu lamina diperbuat daripada beberapa lapis kayu. Lapisan tengah diperbuat daripada kayu yang dimampatkan dan diapit dengan lapisan yang menghalang kelembapan.
Jika dibandingkan dengan lantai kayu keras, lantai lamina ini lebih murah kerana ia menggunakan kayu yang dimampatkan.
Lantai lamina tidak sesuai digunakan di luar rumah atau kawasan yang lembap kerana ia mudah mengembang. Ia lebih sesuai dipasang di bilik tidur, bilik belajar, home office atau dapur kering.
Mudah dipasang, mudah dibersihkan dan tidak mudah pudar berbanding lantai tereka bentuk. Ia juga tahan calar berbanding lantai kayu keras dan lantai tereka bentuk.
Ianya tidak kukuh seperti lantai kayu keras. Selain itu, perubahan kelembapan dan suhu yang melampau juga boleh menyebabkan lantai ini mengembang dan akhirnya menyebabkan lantai ini mudah rosak.
Masih ramai yang tidak tahu sebenarnya, penjagaan lantai kayu lamina jauh lebih mudah berbanding dengan lantai lain. Penyapu atau vakum sudah cukup untuk membersihkan lantai jenis ini.
Jika menggunakan mop, pastikan mop lembap secukupnya dan tidak terlalu basah. Pastikan anda mengeringkan kawasan yang telah dimop agar air tidak bertakung pada permukaan lantai.
Penjagaan lantai jenis ini tidak perlu menggunakan sabun atau bahan kimia lain untuk membersihkannya. Ianya sangat mudah, cepat dan jimat.
Berapakah Harga Lantai Lamina (Laminated Flooring)?
Harga lantai ini sekali dengan pemasangan boleh dikatakan agak murah berbanding dengan solid wood. Hal ini kerana, pemasangan lantai lamina tidaklah serumit seperti lantai lain.
Jika dilihat dari mata kasar ianya kelihatan seperti kayu, tetapi ia bukan kayu sebenar. Lantai vinyl diperbuat daripada bahan sintetik iaitu PVC yang dimampatkan menjadi kepingan pepejal. Kemudian, ia dipasang diatas permukaan lantai yang licin dengan pelekat.
Lantai vinyl mudah ditanggalkan dan diganti sekiranya ia mula rosak. Terdapat banyak corak, tekstur dan warna kayu yang berbeza dikeluarkan di pasaran yang dapat memenuhi citarasa setiap pemilik rumah.
Walaupun diperbuat dari PVC, lantai vinyl tidak sama seperti tikar getah PVC yang selalunya digunakan di kebanyakan rumah kampung tradisional. Lantai vinyl mempunyai pelbagai lapisan dan lembut apabila dipijak untuk tempoh yang lama berbanding dengan jubin seramik.
Lantai vinyl mempunyai pelbagai corak dan tekstur seperti corak kayu, marmar dan juga seramik. Faktor kos yang rendah dan cara pemasangan yang agak mudah secara DIY membuatkan lantai vinyl semakin popular di kalangan pemilik rumah.
Lantai vinyl merupakan lantai yang kalis air kerana ianya dibuat daripada PVC. Oleh itu, ia sesuai digunakan untuk ruang yang terdedah kepada kelembapan seperti dapur dan bilik air.
Walaupun pemasangannya kelihatan mudah, tetapi jika keadaan lantai rumah anda tidak begitu rata, ia akan menyebabkan vinyl itu mudah rosak. Selain itu, penggunaan lantai vinyl memang akan menjimatkan kos. Tetapi, berbanding dengan jubin seramik, lantai vinyl agak senang rosak sekiranya terkena benda tajam atau berat pada permukaan lantai tersebut.
Di samping itu, ianya menjadi lebih sukar jika digam atau dilekatkan terus pada bahagian lantai kerana permukaan lantai akan rosak.
alah satunya adalah mengelakkan daripada menggunakan mop yang sangat basah untuk kerja-kerja pembersihan. Ia akan menyebabkan lantai mudah tertanggal dan rosak.
Untuk kotoran degil seperti minyak, cat dan sebagainya, gunakan nail power remover lalu dibilas dengan kain putih lembut. Kemudian, lapkan dengan tuala lembap.
Lantai vinyl tidak dijual secara keping, ianya dijual sekotak (kebiasaannya cukup untuk 54 kaki per segi) dengan anggaran harga lebih kurang RM50-70 ringgit untuk satu kotak.
Itu sahaja perkongsian kita pada kali ini. Semoga bermanfaat.