Boleh dikatakan kebanyakan pemilik rumah jarang menitikberatkan soal penjagaan sebenar lantai rumah dengan beranggapan apabila sudah memasang lantai tanpa mengira jenis PVC atau kayu keras, kita tidak perlu risau dan menganggap sudah tidak ada masalah lagi. Memang betul lantai jenis kayu mampu bertahan lama sehingga 10 tahun tetapi pasti anda mahu kekalkan rupanya supaya sentiasa kelihatan baru.Jadi, kali ini Giler Deco akan berkongsi cara kilatkan lantai kayu agar sentiasa tip top.
Bagaimana Cara Kilatkan Lantai Vinyl Dan Lantai Lamina?
- Untuk lantai vinyl, ia sangat mudah dengan menggunakan penyapu biasa sahaja sudah memadai. Manakala untuk lantai lamina pula memerlukan “nonwoven wiper” yang lembut tetapi mampu membersihkan habuk rumah dengan efektif. Ianya didatangkan dengan dua jenis versi iaitu kering dan basah. Jadi, anda tidak perlu risau lagi adanya kesan calar apabila melakukan pembersihan lantai.
- Anda boleh menggunakan cecair yang khusus untuk lantai jenis kayu seperti “Wooden Furniture Protectant & Shine”. Bahan ini juga dapat digunakan pada perabot kayu jati dan perabot lain juga. Jika mahu lantai bersinar seperti baru, gunakan 3 kali sebulan sudah memadai. Untuk lantai vinyl, hanya sedikit kuantiti cecair pembersih diperlukan dan dicampurkan dengan air biasa.
Adakah Saya Boleh Menggunakan Mop Untuk Membersihkan Lantai?
Harus diingatkan jika lantai yang digunakan itu adalah jenis kayu keras, elakkan dari menggunakan cecair lantai biasa dengan kerap. Untuk info yang lebih jelas dan terperinci mengenai lantai kayu keras, kami telah sediakan info lanjut di bahagian bawah ini.
Untuk lantai lamina pula, anda boleh menggunakan “oil floor cleaner” yang khusus untuk lantai tersebut. Lakukan pembersihan seminggu sekali untuk mendapatkan lantai yang bersih.
Lantai yang paling mudah untuk dijaga dan dibersihkan ialah lantai vinyl. Caranya sangat mudah, kalau hari-hari nak mop pun tak apa. Pastikan anda melakukan “vinyl wax” setahun sekali bagi memastikan lantai berkilat dan dapat mengembalikan keceriaan lantai.
Apa Itu Lantai Kayu Keras (Hardwood Floors)?
Penggunaan lantai kayu keras sangat popular dan kebanyakan pemilik rumah lebih suka menggunakan lantai jenis ini berbanding lantai lamina dan lantai vinyl. Hal ini kerana lantai kayu keras ini dapat membuatkan rumah anda tampak lebih bergaya, menarik dan tahan lama. Ia mampu bertahan sehingga berdekad lamanya jika dijaga dengan rapi dan betul.
Walaupun menarik dan tahan lama, jika tidak dijaga dan diselenggara dengan baik, ia tidak akan kekal lama dan cepat rosak. Untuk memastikan lantai jenis ini tahan lama, anda wajib melakukan rutin pembersihan supaya ianya sentiasa dalam keadaan baik dan kelihatan berkilau.
Berikut adalah beberapa langkah & cara kilatkan lantai kayu keras bagi mengekalkan keserian dan ketahanan lantai kayu keras.
Bagaimana Cara Kilatkan Lantai Kayu Agar Sentiasa Tip Top?
Menggunakan Waxing atau Penggilap Kayu Keras
- Lantai rumah perlu sentiasa di ‘waxing’ dan digilap dengan bahan yang khusus untuk lantai kayu keras. Tetapi, jika anda tersalah langkah dalam melakukan waxing dan menggilap, berkemungkinan ia akan merosakkan struktur kayu tersebut. Jadi, berhati-hatilah semasa melakukan waxing.
- Jika lantai kayu keras yang digunakan itu telah disaluti dengan pelindung kalis air, maka ianya perlu digilap sahaja. Manakala, jika lantai rumah anda tidak kalis air, anda perlu melakukan waxing terlebih dahulu sebelum digilap. Oleh itu, pastikan anda mengetahui bagaimana keadaan lantai sebelum melakukan penyelenggaraan untuk menjaganya.
- Proses menggilap lantai sebenarnya tidaklah mengambil masa yang lama, ia juga tidak mahal dan dapat mengembalikan kilauan pada lantai. Sebolehnya, gunalah penggilap lantai kayu yang disyorkan oleh pengilang dan mop yang digunakan juga haruslah mempunyai pad pembersih mikrofiber. Setelah digilap, biarkan ia selama satu jam atau lebih sebelum kawasan tersebut digunakan semula.
- Caranya mudah sahaja, anda perlu sapukan waxing pada bahagian lantai dan biarkan sehingga ianya kering.
- Kekerapan melakukan kerja-kerja waxing dan menggilap ini bergantung pada berapa kerap anda menggunakan kawasan lantai kayu keras tersebut. Kebiasaannya, pemilik rumah akan melakukan penyelenggaraan lebih kurang 2 kali setahun. Pastikan anda menggunakan waxing atau penggilap yang betul supaya jaminan (baca: waranti) kayu tersebut tidak terbatal.
Apakah Tips Penjagaan Lantai Kayu Keras?
Lindungi Kayu Dari Terkena Cecair
- Pastikan kayu disaluti dengan bahan pelindung bagi memastikan kayu terhindar dari kesan calar lembut. Namun, seboleh-bolehnya elakkan dari terkena cecair.
- Sekiranya tertumpah, lapkan segera dengan menggunakan kain kering.
- Gunakan mop basah semasa kerja-kerja pembersihan dijalankan.
- Anda juga boleh gunakan pembersih yang khusus untuk lantai kayu keras.
- Elakkan dari menggunakan mop jenis wap atau mesin membersih karpet kerana ianya boleh mendedahkan kayu terkena cecair dan calar.
Bersihkan Lantai Kayu Keras Dengan Betul
- Sekiranya makanan, minum dan cecair tertumpah pada permukaan lantai, anda haruslah membersihkan dengan segera sebelum ianya meresap masuk ke dalam kayu. Semakin lama ia berada di permukaan lantai, semakin cepat meresap ke dalam kayu.
- Sebelum melakukan waxing atau menggilap, lantai kayu keras perlulah dibersihkan secara berkala terlebih dahulu bagi memastikan kayu tersebut sentiasa berada dalam keadaan baik.
- Langkah pertama bagi membersihkan lantai kayu keras ialah dengan menyapu atau menggunakan vakum bagi mengeluarkan sebarang habuk dan kekotoran yang terdapat pada kayu keras tersebut.
- Kemudian, gunakan mop basah dan pembersih yang khusus untuk lantai kayu keras. Jika anda tidak mempunyai pembersih yang khusus, anda boleh menggunakan larutan sabun pencuci pinggan, air atau cuka untuk menghilangkan segala kekotoran yang ada pada lantai berkenaan. Kemudian, basahkan mop dengan menggunakan air sahaja untuk mengeluarkan sebarang sisa-sisa sabun atau cuka tadi. Selepas itu, tunggu sehingga ia kering sepenuhnya.
Lindungi Lantai Kayu Keras Dari Terkena Calar
- Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan lantai kayu keras anda dari terkena calar.
- Langkah pertama adalah mengelakkan menggunakan kasut tapak keras di dalam rumah. Hal ini kerana, tapak kasut yang keras akan membuatkan permukaan lantai kayu keras anda lebih cepat haus dan cepat merekah. Sebaiknya, gunakan stokin atau selipar dalam rumah untuk berjalan. Selain itu, penggunaan perabot yang berat juga boleh menyebabkan kayu keras itu mudah rosak. Untuk mengelakkannya dari terjadi, gunakan pelindung kayu pada bahagian kaki perabot tersebut. Dengan itu, ia dapat mengelakkan lantai tercalar semasa anda memindahkan perabot berkenaan.
- Cara terbaik bagi melindungi kayu keras supaya tidak rosak adalah dengan menggunakan permaidani di bahagian tertentu rumah. Dengan demikian, ia dapat mengelakkan lantai kayu keras dari terkena kesan perabot berat. Selain itu, elakkan menggunakan rolling chair pada bahagian lantai kayu keras kerana ia cenderung untuk menyebabkan kerosakan pada lantai kayu keras tersebut.
Menangani Kesan Calar Ringan, Kecil dan Besar
- Anda tidak mampu melindungi lantai kayu keras rumah anda dari tercalar setiap masa. Contohnya, kesan calar mungkin berlaku akibat cakaran kucing atau aktiviti anak-anak anda. Masalah ini boleh diselesaikan setelah anda menentukan tahap calar.
- Untuk kesan calar ringan, lapiskan lantai dengan pelindung baru setelah selesai proses mencuci sudah cukup memadai. Manakala, untuk calar kecil pula, bersihkan kawasan tersebut dan kemudiannya gosokkan kawasan itu dengan steel wool mengikut jalur yang ada pada kayu. Kemudian, gilap atau waxing bahagian tersebut.
Hubungi Pakar
- Anda boleh menghubungi pakar untuk mendapatkan nasihat dan tips penjagaan kayu sekiranya anda tidak tahu cara melakukan penjagaan lantai kayu keras.
- Selepas hampir sedekad digunakan, lantai kayu keras akan mengalami kesan haus dan lusuh yang mungkin perlu diselenggara semula. Melakukan refinishing lantai kayu keras adalah perlu apabila lantai anda sudah berusia. Jadi, menghubungi pakar lantai adalah jalan terbaik bagi memastikan lantai kayu keras sentiasa berada dalam keadaan baik walaupun sudah berdekad digunakan.
Itu sahaja perkongsian mengenai cara kilatkan lantai kayu keras pada kali ini. Semoga bermanfaat.