Cara Menjaga Pokok Fiddle Leaf Fig

Ditulis oleh

Pokok fiddle leaf fig ialah tumbuhan yang menakjubkan dengan daun hijau yang besar dan amat popular untuk dijadikan sebagai pokok hiasan di dalam rumah. Namun, ia sememangnya bukan pokok yang paling mudah untuk dijaga. Tetapi apabila dijaga dengan betul, impak visual yang dihasilkan ke atas suasana rumah anda adalah sangat berbaloi dengan masa & tenaga yang dicurahkan.

Penempatan

Pokok fiddle leaf fig hidup dalam persekitaran yang hangat dan lembap, justeru ia memerlukan jumlah air yang mencukupi dan cahaya yang banyak. Pilih lokasi yang jauh daripada sistem pengudaraan (air ventilation) dan tempat di mana ia dapat menerima banyak cahaya ambien yang terang. 

Letakkan pokok ini berhampiran dengan tingkap pada waktu pagi. Pokok fiddle leaf fig tidak akan bertumbuh dengan baik pada lokasi cahaya yang malap. Sebaik sahaja anda memilih tempat yang sesuai, jangan alihkannya! Ia adalah tumbuhan yang akan tumbuh dengan gembira apabila mereka telah menemui ‘rumah’ yang cerah dan selesa. 

Penyiraman

Pokok fiddle leaf fig sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran dan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan rumah baharu mereka. 

Anda boleh lakukan penyiraman sebanyak 2 kali seminggu atau jika perlu sahaja kerana ia tidak memerlukan siraman setiap hari. Pastikan tanah kering dan tidak lembap sebelum menyiram. 

Gunakan piring kalis air di bawahnya untuk melindungi lantai anda daripada rosak kerana kelembapan mungkin terkumpul di bawah pasu. Selain itu, sekali seminggu ubah sedikit posisi pokok supaya daun menerima cahaya matahari yang sekata dan tidak hanya tumbuh ke arah sumber cahaya. 

Tidak pasti bila anda patut menyiramnya lagi? 

Jangan risau, anda hanya perlu masukkan jari anda ke dalam tanah sedalam 2 inci dan jika ia masih basah, biarkan sahaja dahulu. Jika anda tidak yakin, anda boleh membeli meter mengukur kelembapan tanah yang murah dan siramkan ia apabila bacaan meter hampir kering. 

Cara Bersihkan Daun

Jika daun pokok fiddle leaf fig anda dilitupi titisan air dan habuk, lap perlahan-lahan daun tersebut dengan menggunakan kain yang lembap. Hal ini kerana, jika habuk dibiarkan pada permukaan daun, ia akan mengganggu proses fotosintesis.

Anda tidak perlu menggunakan minyak kelapa kerana ia akan melemaskan daun. Teruskan membersih daun seperti ini setiap bulan untuk mengelakkan hama, labah-labah dan perosak lain. Sebagai bonus, daun pokok fiddle leaf fig anda akan kelihatan berkilat dan nampak seperti baru.

Kredit: decorlovin.com

Apa yang berlaku jika daun pokok fiddle leaf fig saya gugur?

Pokok fiddle leaf fig sangat sensitif terhadap perubahan persekitaran dan pemindahan. Sekiranya ia mengalami perubahan dari suasana yang lembap dan hangat ke ruang yang lebih kering dan sejuk, pokok fiddle lead fig akan mengalami kejutan dan bertindak balas dengan menggugurkan daunnya. 
Pokok anda akan mengambil masa untuk beradaptasii. Sekiranya daun terus gugur, ia boleh menjadi tanda pencahayaan yang tidak betul atau air yang terlebih/kurang. 

Apa yang menyebabkan pokok saya mempunyai tompok coklat dan daunnya gugur?

Kesilapan yang ramai orang lakukan dalam menjaga pokok hiasan hidup adalah memberi terlalu banyak air. Pokok ini lebih suka keadaan tanah yang sedikit kering di antara waktu penyiraman. Sekiranya daun anda mula mempunyai bintik coklat, gugur dan tanahnya lembap, biarkan ia kering sepenuhnya. Kemudian barulah anda boleh kembali menyiram. 

Kesilapan yang kedua adalah pokok anda tidak mendapat cahaya yang mencukupi. Secara amnya, pokok fiddle leaf fig memerlukan cahaya yang banyak untuk tumbuh subur dan ia akan mulai gugur jika ia tidak menyerap tenaga yang mencukupi. Jika anda tidak pasti lokasi yang sesuai untuk meletakkan pokok ini, bawalah ia ke tepi tingkap.

Kesilapan yang jarang berlaku adalah kekurangan air. Apabila pokok anda kekurangan air, daun akan mula menjadi coklat atau keperangan. Kemudian hujung daunnya akan menjadi bergulung dan akhirnya akan merebak ke seluruh daun dan terasa kering apabila  disentuh.

Kredit: decorlovin.com

Bagaimanakah cara untuk mengetahui bila pokok saya memerlukan air?

Cara paling mudah untuk mengetahui sama ada pokok anda memerlukan air adalah dengan memeriksa beberapa inci tanah yang teratas samada ia kering atau masih lembap.  Selain itu, lihatlah pada daunnya. Jika daun pokok anda nampak tidak segar dan tegak, maka cepat-cepatlah menyiramnya.

Bolehkah saya letak pokok fiddle leaf fig di sebelah penghawa dingin?

Pokok fiddle leaf fig adalah tumbuhan tropika yang suka pada persekitaran yang lembap. Jika persekitaran terlalu kering, ia akan menggugurkan daunnya. Walaupun pokok ini tumbuh subur dalam rumah yang berhawa dingin, namun elakkan meletak pokok ini bersebelahan dengan penghawa dingin. Jika daunnya kelihatan dibuai-buai angin, pindahka ke tempat lain.

Bagaimana dan bilakah masa yang sesuai untuk pembajaan?

Pokok fiddle leaf fig tidak perlu pembajaan yang kerap. Baja 2 minggu sekali pun sudah cukup. Sebelum pembajaan, anda harus gemburkan dahulu tanah supaya pengudaraan dan saliran tanah berada pada tahap yang terbaik.

Bagaimana dan bilakah masa yang sesuai untuk 'repot'?

Anda boleh ‘repot’ tumbuhan anda apabila ia mula kelihatan terlalu besar untuk pasunya atau akar mula tumbuh keluar dari lubang saliran. Pilih pasu yang kira-kira dua inci lebih besar daripada pasu asal yang mempunyai lubang saliran. Tambahkan 2-3 inci batu pada bahagian paling bawah pasu baru supaya air berlebihan akan mengisi ruang antara batu tersebut dan tidak terkumpul di dalam tanah.

Kredit: whatsurhomestory.com

Bagaimana cara untuk membiakkan pokok fiddle leaf fig?

Cara pembiakan pokok fiddle leaf fig sangat mudah dengan keratan batang dan amat sukar dilakukan dengan biji. 

Pertama sekali, gunakan gunting untuk memotong batang pokok kira-kira 12-18 inci panjang dengan beberapa helai daun. 
Letakkan keratan tersebut ke dalam balang yang berisi air bersih dan tempatkan pada suhu bilik yang hangat dengan cahaya terang tetapi bukan secara langsung. Tukar air apabila kelihatan ia keruh.
Dalam beberapa minggu, tunas putih akan muncul di pangkal batang yang berada di dalam air. Selepas beberapa minggu, akar akan tumbuh di dalam air tersebut.
Apabila akar mencapai 1-2 inci panjang, tanam keratan tersebut dalam pot 1 gelen yang diisi dengan tanah dan air sehingga lembap tetapi tidak basah dan tidak terlalu banyak air.

Amaran!

Walaupun pokok fiddle leaf fig ini cantik, tetapi ia amat berbahaya kepada haiwan peliharaan sekiranya ia menggigit daun tersebut hingga tertelan. Situasi ini akan menyebabkan iritasi serta gangguan pada saluran pencernaan. Jadi, anda harus sentiasa pantau haiwan peliharaan anda.

Pokok fiddle leaf fig bukanlah pokok yang mudah untuk dijaga. Namun, ianya akan memberikan satu kepuasan jika anda berjaya menjaganya sehingga ia tumbuh subur dengan daunnya yang menghijau. Paling penting, kehadiran pokok ini akan menjadikan hiasan dalaman rumah anda lebih indah dan sudah pasti akan menarik perhatian setiap tetamu anda.

Semoga bermanfaat!

Diterbitkan pada
Februari 23, 2022
Dikemaskini pada
Mac 13, 2022

Sharing Ekslusif Kami

Ikuti channel sosial media Giler Deco & dapatkan idea dekorasi trendy serta tips-tips menarik untuk rumah impian anda.

Anda Mungkin Juga Berminat

Artikel Terbaru

Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
usermagnifiercrosschevron-down linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram