Kelebihan Pasang Sistem Panel Solar Di Rumah

Ditulis oleh

Bil elektrik melambung tinggi pada musim PKP? Persoalannya patutkan anda pasang sistem panel solar di rumah? Perkongsian dibawah ini mungkin akan menjawab seribu satu persoalaan yang bermain difikiran anda.

Dengan norma baharu ekoran Covid-19, ramai rakyat Malaysia kini banyak menghabiskan masa di rumah. Amalan bekerja dari rumah kini menjadi kelaziman. Hasilnya, bil elektrik meningkat antara 20 ke 50 peratus.

Jika anda pernah berkira-kira untuk memasang panel solar di kediaman, jadi sekarang inilah masa terbaik untuk melakukannya! Anda boleh menjimatkan bil elektrik di samping berpotensi memperoleh pendapatan sampingan.

Apa itu solar?

Panel solar biasanya diletakkan di kawasan terbuka dan cerah (biasanya di atas bumbung). Ia menggunakan sel solar photovoltaic (PV) untuk menyerap cahaya matahari yang kemudiannya ditukar kepada tenaga elektrik. Iklim Malaysia yang sentiasa panas menjadikan negara ini sesuai untuk penghasilan tenaga suria secara mampan.

Hasilnya, anda tidak lagi perlu membeli bekalan elektrik dari grid kuasa. Ini menjimatkan bil elektrik anda. Malah lebihan tenaga elektrik yang anda hasilkan boleh dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi skim Pemeteran Tenaga Bersih (“Net Energy Metering” atau NEM) seperti yang diterangkan di bawah.

Berikut adalah ilustrasi oleh TNB mengenai bagaimana panel solar berfungsi: panel solar di rumah

Manfaat sistem panel solar di rumah :

Panel solar merupakan cara yang baik untuk menjana tenaga elektrik anda sendiri. Tenaga suria bukan sahaja menjimatkan wang tetapi turut menyumbang kepada kelestarian alam dan boleh menjana pendapatan sampingan. Berikut adalah 10 manfaat yang boleh anda peroleh dengan panel solar anda sendiri:

  • Penjimatan bil elektrik antara 54% ke 87% setiap bulan bergantung pada bil anda (menurut GSPARX, sebuah anak syarikat milik penuh TNB dan pelabur solar photovoltaic yang berdaftar di bawah Lembaga Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (“Sustainable Energy Development Authority” atau SEDA Malaysia).
  • Insentif lumayan oleh kerajaan Malaysia.
  • Insentif 24% elaun cukai pelaburan MIDA bagi syarikat yang diperbadankan di Malaysia yang membuat permohonan rasmi kepada Insentif Cukai untuk Meningkatkan Pembangunan Hijau – rujuk nota kaki.
  • Pengecualian cukai penjualan 10% jika anda membeli peralatan solar photovoltaic buatan tempatan.
  • Kenaikan nilai hartanah.
  • Ciri sampingan yang baik bagi pengubahsuaian mesra alam rumah anda.
  • Menggunakan ruang yang banyak di atas bumbung secara produktif.
  • Membawa kesan positif kepada alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil dan pengeluaran karbon dioksida.
  • Sumber tenaga elektrik yang mampan dan mampu bertahan sehingga 30 tahun.

Perkara yang perlu untuk pemasangan sistem panel solar di Malaysia :

Setelah memilih jenis panel solar untuk kediaman, berikut adalah perkara lain yang anda perlukan untuk pemasangan panel solar:

  • Mendaftar sebagai pelanggan TNB.
  • Mempunyai bumbung atau halaman rumah yang luas dan boleh memuatkan peralatan solar anda.
  • Mempunyai bumbung yang kukuh tanpa sebarang kebocoran atau kerosakan bagi menyokong sistem solar yang berat.
  • Kawasan yang mempunyai pengudaraan yang baik untuk menyimpan bateri.
  • Perkara berkaitan teduhan kawasan panel solar bagi memanfaatkan tenaga solar dengan cekap.
  • Mematuhi undang-undang tempatan dan memenuhi keperluan pembekal tenaga elektrik anda untuk menyambung ke grid kuasa.
  • Jika anda tinggal di hartanah strata, anda perlu berurusan dengan Badan Pengurusan Bersama (“Joint Management Body” atau JMB) atau Perbadanan Pengurusan (“Management Corporation” atau MC) untuk memasang panel solar.

Pembekal panel solar di Malaysia :

panel solar di rumahMembeli peralatan panel solar di Malaysia tidak semudah mengunjungi mana-mana kedai perkakasan. Mujurlah SEDA Malaysia menyediakan senarai pembekal sistem tenaga solar yang berdaftar dan boleh dipercayai.

Buat masa ini terdapat lebih 110 pembekal panel solar PV dan 27 pelabur sistem panel solar PV yang berdaftar dengan SEDA Malaysia. Anda boleh menghubungi kesemua syarikat ini bagi mendapatkan tawaran terbaik. Para pembekal ini turut menawarkan bantuan membuat permohonan dan pemasangan jika diperlukan.

Berikut adalah tiga pembekal yang kami syorkan:

  1. Aco Eco– Syarikat bereputasi baik dalam penyediaan perkhidmatan tenaga suria yang memuaskan pemilik kediaman di Malaysia.
  2. AEE Solar– Pemborong bereputasi baik yang membekalkan panel solar kepada kediaman dan premis perniagaan.
  3. Goal Zero– Penyedia panel solar inovatif dan mudah alih yang boleh dipasang di mana-mana pada bila-bila masa untuk kemudahan anda.

Anda boleh membeli secara terus daripada pembekal perkhidmatan yang diiktiraf SEDA Malaysia atau beli secara dalam talian (online) di laman e-dagang seperti Lazada dan Shopee.

Kos pemasangan sistem panel solar :

Pemasangan panel solar bukan murah. Kos sebuah sistem tenaga solar berpenarafan 4kWp untuk sebuah kediaman dua tingkat, termasuk khidmat pemasangan profesional, boleh mencecah antara RM50,000 ke RM60,000.

Berikut adalah cara membuat anggaran kos panel solar mengikut Solar Panel Malaysia:

Langkah 1: Periksa bil elektrik dan dapatkan purata penggunaan elektrik anda dalam jam kilowatt (kWh) setahun.

Langkah 2: Buat pemerhatian bilangan jam dalam sehari bagi cahaya matahari di kawasan anda.

Langkah 3: Tentukan peratusan tenaga elektrik solar yang diperlukan oleh isi rumah anda.

Langkah 4: Gunakan formula berikut yang digunakan di seluruh dunia untuk menganggarkan saiz panel diperlukan. Berdasarkan saiz, anda boleh mendapatkan belanja yang diperlukan dalam bentuk simpanan atau pinjaman bank.

Saiz jujukan dalam kilowatt = (purata kWh/setahun) ÷ (365 hari) ÷ (jam pancaran matahari/sehari) x (peratusan liputan) ÷ (75% constant efficiency)

Sebagai contoh, jika bil elektrik RM100 sebulan dengan purata penggunaan 1,000kWh sebulan dan anggaran 5 jam pancaran matahari dalam sehari pada liputan 75%:

Saiz jujukan dalam kilowatt(12,000kWh/setahun) ÷ (365 hari) ÷ (5kWh/sehari) x (75%) ÷ (75%) =6.58kW

Penghitungan ini adalah untuk anggaran kos panel solar sahaja. Satu lagi kos yang perlu anda tanggung adalah pemasangan yang didorong oleh faktor seperti:

  • Purata penggunaan tenaga elektrik sebulan.
  • Amaun tenaga elektrik yang ingin anda imbangi.
  • Pancaran cahaya matahari di kawasan anda.

Seperti yang disebut di atas, kos keseluruhan boleh mencecah antara RM50,000 ke RM60,000.

Adakah insentif sistem panel solar untuk pemilik rumah di Malaysia?

panel solar di rumah1. Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering atau NEM)

SEDA Malaysia telah memperkenalkan program Pemeteran Tenaga Bersih (Net Energy Metering atau NEM) bagi membolehkan anda menjana tenaga solar dan memperoleh pendapatan daripadanya, memandangkan ia membolehkan anda menyimpan tenaga elektrik di dalam grid. Tenaga boleh baharu yang dijana boleh digunakan oleh isi rumah dan selebihnya boleh dijual kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi Semenanjung Malaysia dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi Sabah dan Labuan. Anda boleh mengambil bahagian dalam NEM menerusi pembiayaan atau pemilikan pihak ketiga, tertakluk kepada saling persetujuan dengan pelabur.

Setakat Januari 2019, satu konsep baru NEM telah diperkenalkan. Pembilan bersih yang digunakan sebelum ini telah ditukar kepada pemeteran tenaga bersih sebenar yang membolehkan lebihan tenaga solar PV dieksport semula ke grid secara pengimbangan satu kepada satu. Ini bermakna setiap 1kWj yang dieksport ke grid akan diimbang oleh 1kWj yang digunakan daripada grid, dan bukannya konsep kos teralih yang digunakan sebelumnya. Inisiatif baru ini akan menambahbaik pulangan pelaburan (ROI) solar PV di bawah program NEM.

Sebelum ini, pengguna boleh memilih untuk menyertai program Tarif Galakan (Feed-in Tariff atau FiT) yang membolehkan peserta menjual tenaga elektrik pada harga yang dijamin bagi setiap kilowatt jam yang dihasilkan oleh sistem tenaga solar mereka. Penyertaan bagi program FiT ini bagaimanapun telah ditutup sejak 2017 dan telah digantikan dengan mekanisme NEM.

NOTA: Kuota penguntukan baru bagi NEM adalah 500MW sehingga tahun 2020, dan permohonan untuk NEM adalah berdasarkan ‘tiba dahulu layan dahulu’ sehingga kuota dipenuhi. Permohonan boleh dibuat oleh pembekal perkhidmatan PV berdaftar yang dilantik oleh anda dan perlu dihantar sama ada secara biasa atau menerusi portal permohonan dalam talian SEDA. Klik di sini untuk mengetahui garis panduan terbaru permohonan NEM.

2. Pemajakan Solar di bawah program Perjanjian Bekalan Bagi Tenaga Boleh Baharu (Supply Agreement for Renewable Energy atau SARE)

Pilihan ini adalah bagi yang berminat untuk bertukar ke tenaga solar tetapi kurang berkemampuan untuk melabur dalam sistem panel solar.

SARE membolehkan pelanggan membuat perjanjian atau kontrak dengan pelabur / pemilik solar photovoltaic dan Tenaga Nasional Berhad. Program ini bertujuan membolehkan lebih ramai pelanggan di Malaysia memanfaatkan sistem solar PV. Menerusi SARE, pemilik /pelabur memajak sistem solar PV kepada pelanggan manakala pembelian tenaga solar oleh pelanggan akan dikenakan caj oleh TNB. Di sini TNB memainkan peranan sebagai ejen kontrak dan pengutipan yuran perkhidmatan. Sebagai pelanggan, anda akan membayar fi pemajakan kepada pemilik menerusi TNB. Sebagai ganti, anda tidak perlu membayar kos pendahuluan pemasangan sistem solar PV.

Kredit: Iproperty

 

 

Adakah perkongsian ini bermanfaat? Share dan love post ini supaya anda boleh jadikan rujukan projek dekorasi anda yang seterusnya. 
Diterbitkan pada
Disember 21, 2020
Dikemaskini pada
Disember 21, 2020
Topik

Sharing Ekslusif Kami

Ikuti sosial media Giler Deco & dapatkan idea dekorasi trendy serta tips-tips menarik untuk rumah impian anda.
Logo Giler Deco
© 2024 Giler Deco Hakcipta terpelihara
• Web Impian Sdn. Bhd. (920163-H)
Privasi PolisiTerma & Syarat
usermagnifiercrosschevron-down linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram